Jenis-jenis kuasa yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin
Jenis-jenis kuasa yang dimiliki oleh seorang pemimpin
Kuasa Sah
Kuasa sah atau kuasa legitimasi wujud kerana kedudukan rasmi seseorang dalam sesebuah organisasi . Kadangkala kuasa sah ini juga bergantung kepada hubungan yang dijalin di antara subordinat dengan pemimpin. Walau bagaimanapun, kuasa ini mungkin dibatasi oleh sesetengah perjanjian yang formal. Contohnya, apabila seseorang subordinat enggan melakukan sesuatu kerja yang lebih dari yang diklasifikasikan. Oleh itu, pendekatan seperti “Buat juga, sebab saya adalah bos.” ini tidak patut dilakukan kerana ini akan mengurangkan daya kepemimpinan seseorang pemimpin. Umumnya seseorang memiliki kuasa sah jika berupaya membuatkan orang lain mempunyai komitmen untuk melakukan sesuatu.
Kuasa Ganjaran
Kuasa ganjaran datang dari kebolehan seseorang untuk mengurniakan ganjaran . Ia juga merupakan salah satu sumber kuasa yang berasaskan organisasi kerana syarikat secara amnya memberi kuasa kepada pemimpin untuk menaikkan gaji , mempengaruhi agar seseorang diberi kenaikan pangkat dan memberikan manfaat khusus seperti bonus, elaun tertentu dan hari percutian . Pemimpin juaga boleh menggunakan ganjaran sosial seperti memberi pujian serta pengiktirafan kepada subordinat-subordinatnya .
Kuasa Paksaan
Kuasa ini berpunca daripada kawalan seseorang pemimpin melalui hukuman atau menolak pemberian ganjaran kepada subordinat . Selalunya, pemimpin merupakan orang yang menurunkan pangkat, mengurangkan gaji, menangguhkan bayaran ataupun mengugut subordinat kerana pencapaian mereka yang kurang memuaskan. Pada zaman sekarang, kuasa paksaan lebih difokuskan kepada aspek psikologi dan emosi. Walaupun undang-undang menghadkan kebolehan seseorang pemimpin menggunakan kuasa paksaan, ia masih sering digunakan dalam kebanyakan organisasi. Namun demikian, menggunakan hukuman untuk mendapat kepatuhan daripada subordinat akan mendatangkan kesan negatif. Subordinat mungkin berdendam terhadap si penghukum. Lama-kelamaan, jurang akan menjadi semakin besar di antara pemimpin dan subordinat. Fenomena ini sudah tentu akan mengurangkan dedikasi seseorang subordinat terhadap organisasinya.
Kuasa Kepakaran
Kuasa kepakaran wujud pada seseorang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang yang tertentu . Kuasa ini biasanya dipelopori oleh mereka yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam hal-hal seperti teknikal, pengurusan, pencarian sumber dan sebagainya . Seseorang dikatakan memiliki kuasa ini jika berupaya memberikan cadangan teknikal yang baik, berkongsi pengalaman atau latihan lalu, memberikan nasihat berkaitan kerja yang baik, dan menyediakan pengetahuan teknikal yang diperlukan.
Kuasa Rujukan
Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang menarik perhatian orang lain . Orang ramai sanggup mengikut arahannya disebabkan rasa hormat dan ingin mencontohinya. Umumnya pengurus atau pemimpin yang memiliki kuasa ini berupaya menyebabkan pekerja rasa dihargai dan diterima, membuatkan pekerja maerasa mereka juga penting, membuatkan pekerja menyukainya, dan menyebabkan pekerja merasakan mereka bernilai kepada organisasi.
Kuasa Maklumat
Kuasa maklumat wujud disebabkan seseorang mempunyai maklumat penting yang bukan merupakan pengetahuan ataupun tidak dimiliki oleh semua orang . Mereka mempunyai kebolehan untuk mengawal pengaliran maklumat berkenaan kepada orang lain. Maklumat yang dimiliki oleh seseorang itu mungkin dari sumber rasmi organisasi ataupun perhubungan tidak formal . Semua orang dari peringkat yang berbeza dalam sesebuah organisasi mempunyai kuasa ini.
Kuasa Karismatik
Pemimpin yang berkarisma mempunyai satu kuasa yang mendorong orang lain mengkagumi , menghormati , memberi taat setia dan mempunyai keinginan untuk mencontohinya berdasarkan sifat-sifat tertentu pemimpin tersebut . Pemimpin yang berkarisma dapat dilihat melalui dua ciri iaitu mereka biasanya adalah seseorang yang pandai berkomunikasi dengan orang lain dan menyebabkan orang lain berasa mereka mempunyai banyak sumber dan berkuasa dalam kumpulan mereka. Pemimpin yang berkarisma suka memberi kuasa kepada pengikut-pengikutnya untuk menjalankan tanggungjawab mereka .
Comments
Post a Comment